Proton Exora 2019 – harga turun, tapi ada ciri penting tiada lagi; anda perlu tahu sebelum buat pilihan

Proton Exora 2019 pun akhirnya selamat diperkenalkan minggu ini dengan dua varian ditawarkan. Sebagai sebuah MPV untuk keluarga, ia memang kena dengan semangat musim perayaan Aidilfitri yang akan menjelang tak lama lagi. Sesuai sangat – walaupun mungkin sedikit lewat bagi pelanggan yang nak jadikan Exora sebagai kereta Raya – bagi perjalanan balik kampung sekeluarga.

Tambah menarik, harga yang diperkenalkan juga sebenarnya lebih rendah berbanding sebelum ini; secara ringkasnya, bagi varian paling asas Executive (RM59,800), harganya kurang sekitar RM2,000 manakala bagi varian paling tinggi Premium (RM66,800) pula kurang sekitar RM2,500.

Ini belum lagi mengambil kira nilai tambah dan pakej istimewa yang diberikan sebagai tambahan kepada penawaran Exora versi yang dikemaskini berkenaan. Antara yang dimaksudkan ialah pertambahan ciri seperti unit multimedia “Hi! Proton”, pakej servis kos buruh percuma selama lima tahun, pakej internet dalam kenderaan percuma 1GB sebulan selama lima tahun, cukai jalan percuma (bagi 1,000 pelanggan terawal) dan banyak lagi.


Ini memang menjadikan penawaran Exora 2019 begitu menarik dan berbaloi, terutamanya jika ingin dibandingkan dengan dua pesaing terdekatnya, apa lagi kalau bukan Perodua Alza dan Toyota Avanza. Proton sendiri tidak menggelarkan versi terbaru ini sebagai facelift; kerana cukup jelas, rupa bentuk luarannya tak ada apa yang berubah sangat. Maka sesuailah untuk kita panggil Exora 2019 ini sebagai versi yang diberi kemaskini dari beberapa aspek.

Dan, Exora ini bukanlah model baru. Ia telah diperkenalkan sejak 2009 lagi, menjadikan usianya tahun ini mencecah angka 10 tahun. Sebab itu perbandingan dengan dua model pesaing yang disebutkan ini sangat adil; Alza sendiri berusia kurang lebih sama dengan Exora, manakala Avanza pula lebih lama daripada itu. Semuanya telah menerima berkali-kali facelift atau peningkatan penawaran.

Tetapi, di sebalik pertambahan nilai yang diberikan kepada Proton Exora 2019, sebenarnya ada ciri-ciri yang digugurkan juga pada MPV berkenaan kali ini. Dan, kami rasa terpanggil untuk menarik perhatian anda kepada hal berkenaan, kerana ia melibatkan penawaran dari sudut keselamatan.

Sejak pengenalan versi facelift yang dilakukan pada 2017 dahulu, ada dua perkara yang tidak ditawarkan lagi pada Exora ini yang mungkin pelanggan terlepas pandang. Bagi varian Premium misalnya, sejak itu hanya tinggal dua beg udara SRS untuk penumpang hadapan yang ditawarkan. Sebelum itu, Exora pernah hadir dengan empat beg udara – termasuk dua di sisi penumpang depan. Tetapi, dalam versi 2019 ini, ia meneruskan penawaran berkenaan dari 2017 dan kedua-dua varian hanya tinggal dua beg udara sahaja.

Perkara kedua yang sama pentingnya dilakukan sejak 2017 dulu; tiada ciri kawalan kestabilan (ESC) bagi varian Executive. Lebih baik jika ia ditawarkan bagi semua barisan varian Exora,lebih-lebih lagi syarikat itu terkenal mempromosi betapa selamatnya kenderaan keluarannya untuk digunakan di jalanraya dengan segala macam teknologi yang ada.

Selari dengan matlamat untuk menjadikan jalanraya Malaysia lebih selamat, ESC sepatutnya sudah menjadi satu penawaran yang standard bagi semua kenderaan, bukan menjadi satu ciri pilihan yang patut dikorbankan dalam situasi apa pun. Bayangkan, model-model seperti Proton Iriz dan Persona yang lebih murah daripada Exora Executive ini pun ada dilengkapi dengan ESC, inikan pula bagi sebuah MPV yang terang-terangan akan digunakan untuk seisi keluarga. Untuk makluman, model pesaing seperti Alza dan Avanza juga sebenarnya tidak dilengkapi ciri ini, serta hadir dengan jumlah dua beg udara juga.

Jawapan oleh wakil Proton ketika sesi pandu uji ringkas yang diadakan pada hari pelancarannya juga sangat tidak memuaskan. Pertama, alasannya ialah untuk menurunkan kos. Ini, kami faham. Tetapi mengapa mengorbankan ciri keselamatan yang paling asas dan bukannya ciri keselesaan lainnya yang tidak menjejaskan penawaran keselamatan?

Kedua, katanya dengan Exora 2019 ini, ciri seperti voice command pada sistem “Hi! Proton” telah diperkenalkan (bagi mengelakkan pemandu daripada menggunakan telefon bimbit) serta pertambahan ciri Auto Cruise juga menyumbang untuk menjadikan pemanduan Exora Executive ini lebih selamat. Walaupun ini tidak sepenuhnya salah, ada satu perkara yang gagal kami fahami. Bagaimana ciri keselamatan pasif seperti ini (jika boleh dianggap begitu) difikirkan dapat mengganti ciri keselamatan aktif seperti ESC dan beg udara?

Kami fikir, dalam konteks ini, Proton boleh saja mengambil langkah proaktif untuk tetap menawarkan ciri ESC bagi semua variannya, atas faktor keselamatan yang lebih penting terhadap pengguna. Untuk itu, sekiranya anda benar-benar ingin membeli Proton Exora 2019 ini, kami cadangkan terus pilih yang Premium dan abaikan sama sekali varian Executive. Perbezaan harga juga tidak banyak, sekitar RM7,000, tetapi anda akan lebih tenang dan tahu bahawa dalam situasi tak menentu, ESC mampu membantu menjamin keselamatan semua penumpang.

Kekurangan dari sudut penawaran ciri keselamatan pada Exora 2019 ini adalah sedikit mengecewakan. Kerana, nilai dan penawaran keseluruhannya berada pada tingkat yang sangat baik. Berbanding dengan pesaing yang ada, Exora menyediakan ruang yang paling luas, begitu juga dengan aspek pemanduan yang lebih meyakinkan dan selesa sampai ke penumpang di barisan ketiga. Sayang sekali aspek keselamatan pada varian Executive yang dipilih untuk dikorbankan. Apa pula fikiran anda tentang hal ini? Harapnya Proton buat sesuatu terhadap penawaran Exora 2019 ini untuk kepentingan pelanggannya.

Source: Read Full Article