Proton buka pusat 3S baharu di Lahad Datu, Sabah

Proton dan Fook Loi Corporation telah membuka semula pusat khidmat 3S yang baru dipertingkat di Lahad Datu, Sabah. Kerja naik taraf pusat ini memakan belanja RM2 juta, dan ia sekarang menawarkan khidmat jualan, servis dan alat ganti untuk semua model Proton, termasuk SUV baru X70.

Pusat 3S ini juga menyediakan ruang santai yang lebih selesa serta premium untuk pelanggannya, lengkap dengan tempat mengecas peranti atau komputer riba, dan tempat menikmati minuman. Secara keseluruhannya kini, terdapat 91 buah pusat 3S/4S Proton di seluruh negara.

“Kami berpuas hati dengan keputusan ini. Jelas, naik taraf pada pusat ini bersama strategi peningkatan produk kami telah berjaya meningkatkan tanggapan terhadap jenama Proton dan jumlah jualan yang lebih tinggi. Kita boleh melihat perubahan pilihan pengguna, di mana Proton semakin popular dan membawa kepada perkongsian pasaran berjumlah 18.1% pada bulan Jun 2019, pencapaian terbaik kami sejak Julai 2015,” kata CEO Proton, Li Chunrong.

Source: Read Full Article