MINI John Cooper Works GP Prototype didedahkan – terima bekalan lebih 300 hp dari enjin 2.0 liter turbo

MINI telah pun mendedahkan secara rasmi versi prototaip yang hampir kepada model produksi John Cooper Works GP, yang dihasilkan berdasarkan model konsep yang muncul di Frankfurt hampir dua tahun lalu. Jenama tersebut juga telah mengumumkan bahawa versi paling liar ini hanya akan dihasilkan sebanyak 3,000 unit, dan akan masuk ke pasaran secara rasmi tahun hadapan.

Ia turut disahkan akan menerima bekalan kuasa lebih dari 300 hp, dari enjin empat-silinder 2.0 liter turbo – mungkin enjin B48 BMW, sama seperti unit yang berada pada perut X2 M35i. MINI juga belum mendedahkan sama ada ia akan hanya memacu roda hadapan atau semua roda. Untuk BMW X2 M35i, ia digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan, bersama sistem AWD membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat.

Dengan kuasa lebih buas, JCW GP ini turut menampilkan rupa yang jauh lebih agresif. Trek kereta ini nampak lebih lebar, seterusnya memaksa badannya juga dilebarkan menerusi pemandanan overfender pada setiap ruang roda, dan ia kelihatan seperti terapung – mungkin direka bagi tujuan aerodinamik.

Pada bahagian hadapan, bampar hatchback ini diberikan spoiler lebih besar bersama liang kemasukan udara yang juga bersaiz agak besar. Pada bahagian belakang pula, ia diberikan spoiler dengan sayap lebih ganas, bersama diffuser pada bampar yang turut memuatkan tip ekzos berkembar di tengah. Seperti model konsepnya, lampu belakang JCW GP ini menampilkan elemen grafik bendera Union Jack.

Berkemungkinan, versi produksi sebenar nanti akan menggunakan set rim lain bagi menggantikan rim lima jejari pada versi prototaip ini. Menurut MINI, JCW GP ini akan menerima talaan casis dengan pemadanan “teknologi suspensi yang spesifik” dibina hanya untuk versi istimewa ini.

MINI juga mengesahkan bahawa, setakat ini JCW GP 2020 ini sudah mampu untuk mencatatkan masa di bawah lapan minit di litar ‘The Green Hell‘ Nurburgring Nordschleife. Model JCW GP sebelum ini mencatatkan masa 8 minit 23 saat, sementara rekod kereta produksi pacuan roda hadapan kini dipegang oleh Renault Megane RS Trophy-R dengan enjin 1.8 liter berkuasa 296 hp/400 Nm, mencatatkan rekod lap terpantas 7 minit 40.1 saat, atau lebih 3 saat lebih pantas dari pemegang rekod sebelumnya iaitu Honda Civic Type R FK8.

Source: Read Full Article