Honda Winner X – beza spesifikasi dengan RS150R

Selepas beberapa hari Honda Winner X didedahkan secara rasmi di khalayak umum di Vietnam, kini pengedarnya telah pun mengemas kini spesifikasi model tersebut dalam laman web. Nampaknya model Winner (juga dikenali sebagai RS150R di negara kita) telah dikeluarkan daripada senarai dan diganti dengan Winner X ini.

Seperti yang sudah dinyatakan sebelum ini, anda boleh mengetahui Winner X mempunyai rekaan badan, lampu LED, ekzos serta panel meter digital baru. Kemudiannya, satu lagi peningkatan yang penting adalah ia juga didatangkan dengan pilihan brek yang dilengkapi ABS. Namun, memandangkan spesifikasinya telah pun keluar di laman web Honda Vietnam, kami cuba memerhati apakah lagi yang berbeza.

Ternyata, penggerak motosikal ini masih lagi dikekalkan, iaitu enjin satu silinder suntikan bahan api PGM-Fi DOHC 149.1 cc, yang dipadankan bersama transmisi enam kelajuan. Walaupun dalam video pengenalan model baru ini Honda telah menunjukkan graf penyampaian kuasa yang berubah, kuasa maksimumnya masih lagi 11.5 kW (15.6 PS) pada 9,000 rpm dan 13.5 Nm tork pada 6,500 rpm.



Perkara lain yang dilihat berubah dalam senarai spesifikasi Winner X ini adalah jarak roda yang kini menjadi 1,278 mm (+2 mm berbanding Winner sebelum ini). Daripada itu, berkemungkinan sama ada lengan ayun sedikit panjang ataupun sudut fork sedikit berubah. Dimensi keseluruhannya pula menjadi 2,019 mm panjang (-6 mm), 727 mm lebar (+2 mm) dan 1,088 mm tinggi (-17 mm). Tinggi tempat duduk juga bertambah 15 mm menjadi 795 mm manakala jarak dari jalan masih lagi 150 mm.

Perincian lain Winner X ini dilihat masih sama termasuk tangki bahan api 4.5 liter, berat 123 kg (124 kg untuk model ABS), tayar hadapan 90/80R17, tayar belakang 120/70R17, nisbah mampatan enjin 11.3:1, fork teleskopik, monoshock di belakang, brek cakera depan dan belakang serta muatan minyak pelincir 1.3 liter dalam enjin.

Harga jualan untuk Winner X di Vietnam bermula pada 45.99 juta Dong (RM8,174) iaitu untuk versi CBS Combined Brake System), diikuti 48.99 juta Dong (RM8,708) versi Camo ABS dan 49.9 juta Dong (RM8,869) untuk versi hitam matte ABS.

Source: Read Full Article